Home

Taman-Taman Sabah Sumbang RM3.5 Bilion Kepada Ekonomi Negeri Tahun Lepas

KOTA KINABALU : Taman-Taman Sabah yang mengoperasikan sembilan taman termasuk enam taman marin di negeri ini, menyumbang kira-kira RM3.5 bilion kepada ekonomi negeri menerusi sektor pelancongan pada tahun lepas. Pengarahnya Dr Jamili Nais berkata angka itu disumbang oleh kira-kira dua juta pelancong yang melawat taman-taman terbabit. Sembilan taman di bawah jagaan Taman-Taman Sabah ialah Taman Kinabalu, Taman Bukit Tawau, Taman Banjaran Crocker, Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Pulau Tiga, Taman Pulau Sipadan, Taman Pulau Penyu, Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Tun Mustapha.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Jamili berkata selain Taman Kinabalu yang menjadi destinasi pilihan, para pelancong turut bertumpu di taman-taman marin. “Taman marin yang mencatatkan kedatangan pelancong paling ramai ialah Taman Tunku Abdul Rahman iaitu kira-kira setengah juta pengunjung setiap tahun. Namun, tarikan sebenar dan paling menarik di dunia ialah Taman Pulau Sipadan,” katanya. Mengulas lanjut, Jamili berkata pewartaan keenam-enam taman marin itu merupakan antara pendekatan dalam memastikan kelangsungan pembangunan lestari di kawasan berkenaan. “Kami juga bekerjasama dengan komuniti yang tinggal di kawasan taman marin seperti Taman Tun Sakaran dan Taman Tun Mustapha bagi memelihara khazanah yang terdapat di situ selain melibatkan mereka dalam industri pelancongan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamili berkata pihaknya merancang menaikkan kadar yuran konservasi di Taman Tunku Abdul Rahman berikutan taman marin itu sering menerima kunjungan melebihi kapasiti yang ditetapkan, terutama pada waktu cuti dan hari kelepasan am. “Yuran konservasi yang dikenakan sekarang bagi pengunjung tempatan ialah RM3 manakala pelancong luar RM10. Kami bercadang untuk menaikkan sekali ganda, tetapi buat masa ini kami belum menetapkannya,” kata Jamili. Terdahulu Jamili menghadiri perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Sains Marin dan Akuakultur anjuran Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah. Persidangan dua hari bertemakan ‘Sempadan Baharu Dalam Pembangunan Mampan Sumber Biologi Marin’ yang dihadiri lebih 100 peserta termasuk dari Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Filipina itu adalah platform bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan bidang marin dan akuakultur.

(Sumber : BERNAMA, disunting oleh Taman-Taman Sabah)